Monday 16 June 2014

ESEI:   PERPADUAN KEKUATAN NEGARA KITA MALAYSIA

PENDAHULUAN
 Malaysia terkenal di mata dunia sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun. Kejayaannya bukan sekadar menangani isu-isu tempatan, bahkan ia turut terlibat dalam menangani permasalahan yang menimpa dan dialami oleh masyarakat antarabangsa. Malaysia turut dikenali sebagai sebuah Negara Islam yang unik. Penduduknya berbilang bangsa dan kaum serta mempunyai kepercayaan dan pegangan agama yang berbeza. Majoriti terbesar warganya terdiri dari kaum Melayu beragama Islam. Bumi Malaysia adalah tanah asal tempat tumpah darah mereka.
Pada masa dahulu, negara ini dikenali sebagai Tanah Melayu. Tanah Melayu mendapat kemerdekaan pada tahun 1957. Pada tahun 1966, namanya ditukar kepada ”Malaysia”. Beberapa jenis flora dan fauna di bumi subur beriklim tropika ini sukar ditemui di tempat lain. Hasil komoditinya menjadi idaman banyak pihak. Malaysia terkenal sebagai negara pengeluar bahan-bahan mentah yang bernilai tinggi. Kedudukannya juga sangat strategik dalam lingkaran laluan dagangan antarabangsa.
Walaupun rakyatnya berbilang etnik dan bangsa, tetapi mereka dapat hidup rukun dan damai, tidak seperti penduduk di negara-negara lain yang tidak sunyi dengan perbalahan, pertikaian dan permusuhan sedangkan mereka terdiri dari bangsa, keturunan dan kepercayaan yang sama. Kehidupan rakyat negara ini pernah diuji. Keharmonian hidup mereka tidak bertahan lama kerana dicemburui banyak pihak. Beberapa kawasannya telah diserang dan dijajah oleh pelbagai kuasa seperti Portugis, Belanda, Siam, Jepun, dan Inggeris. Segala bentuk, rupa dan rasa keperitan dan kesukaran telah dilalui oleh ramai pemastautin tempatan apabila mereka cuba menentang penjajahan asing demi memelihara tanah air tercinta. Begitu juga semasa mereka berada di bawah cengkaman kuasa asing.
Banyak perkara telah difikir dan pelbagai usaha dilaksanakan untuk mengisi kemerdekaan dan memajukan bumi tercinta setelah sekian lama ditadbir oleh penjajah. Bermacam-macam rintangan dan gerakan untuk menggugat keharmonian, keamanan dan perpaduan antara kaum dapat ditangani oleh barisan pimpinan negara. Namun begitu terjadi beberapa peristiwa yang tidak diingini kerana masih ada niat dan usaha jahat pihak tertentu yang enggan memberi kerjasama untuk membendungnya. Jesteru, maka perpaduan kaum dan integrasi nasional adalah isu dan agenda utama pemimpin dan seluruh warga negara Malaysia.


A.   KEPENTINGAN PERPADUAN KAUM

Negara Malaysia unik dari segi penduduknya yang berbilang kaum. Dalam konteks kepelbagaian ini, perpaduan rakyat Malaysia sememangnya penting. Demi mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan masyarakat Malaysia, Perdana Menteri Malaysia kita, Datuk Seri Najib Tun Razak telah merasmikan pelaksanaan dasar 1Malaysia. Apa yang dikatakan konsep 1Malaysia ? Konsep ini membawa makna bahawa semua rakyat dalam negara Malaysia digelar bangsa Malaysia tanpa mengira agama, warna kulit mahupun keturunan.

Perpaduan merupakan perkara yang amat mustahak untuk mengekalkan keharmonian dan kedamaian rakyat di Malaysia. Malaysia yang aman dan damai dapat manjamin kebahagiaan dan keselamatan rakyatnya. Kedamaian dan kesejahteraan dalam kalangan masyarakat Malaysia dapat mengelakkan daripada berlakunya pertelingkahan dan perselisihan faham antara satu sama lain. Sikap toleransi turut dilahirkan daripada kedamaian dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini demikian, kerana rakyat Malaysia sedar bahawa sikap bertolak ansur penting bagi mengekalkan keharmonian negara.

Perpaduan rakyat Malaysia amat penting dalam menjadikan negara Malaysia sebagai negara maju menjelang tahun 2020. Perpaduan masyarakat Malaysia penting bagi mencapai hasrat Wawasan 2020. Bekas Perdana Menteri Malaysia kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad, telah mengemukakan Wawasan 2020 dalam persidangan pertama Majlis Perdagangan Malaysia pada tahun 1991. Dalam ucapannya, beliau mengemukakan perpaduan rakyat Malaysia sebagai cabaran pertama untuk membentuk sebuah negara yang utuh. Perpaduan hanya tercapai jika rakyat kita yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama mempunyai perasaan kekitaan sebagai warga Malaysia. Tanpa perpaduan kaum, kita tidak dapat membawa negara kita ke tahap kemajuan yang optimum. Oleh itu, Wawasan 2020 akan tercapai dengan adanya semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Salah satu langkah untuk mengekalkan keharmonian negara dalam menyokong aspirasi 1Malaysia ialah dengan penubuhan sekolah wawasan. Sekolah wawasan merupakan tempat yang terbaik untuk memulakan proses integrasi antara kaum. Sekolah wawasan menyediakan ruang dan peluang untuk murid-murid pelbagai kaum berinteraksi secara langsung kerana mereka berkongsi kantin, padang permainan, dewan dan kemudahan lain di sekolah. Mereka berpeluang untuk saling mengenai dan memahami antara satu sama lain. Dengan itu, mereka akan membesar dengan sikap toleransi dan hormat terhadap budaya dan agama kaum lain. Tegasnya, sekolah wawasan mampu memupuk persefahaman kaum dan seterusnya mempercepat integrasi nasional.

Selain itu, pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga mampu mengekalkan keharmonian rakyat serta negara. PLKN dapat merealisasikan perpaduan nasional. Hal ini demikian, kerana aktiviti PLKN dilakukan secara berkumpulan dan segala aktiviti yang dilaksanakan memerlukan kerjasama antara semua peserta. Melaluinya, remaja pelbagai kaum akan ditempatkan bersama di bawah satu bumbung. Mereka akan menjalankan aktiviti bersama - sama, berinteraksi dan bergaul mesra. Mereka akan terdedah kepada corak hidup masyarakat majmuk Malaysia secara mendalam. Persefahaman yang lebih erat akan memupuk perasaan kekitaan. Dengan ini, tembok pemisah antara kaum dapat diruntuhkan di samping mengekalkan keharmonian negara.

Selain daripada pihak kerajaan Malaysia yang bertanggungjawab mengekalkan keharmonian negara, masyarakat diri sendiri turut memikul peranan penting dalam menjamin keharmonian negara berkekalan. Demi menjamin keharmonian negara, rakyat Malaysia perlu mengelakkan isu-isu sensitif. Usahlah rakyat kita mengungkitkan isu perkauman. Biarlah peristiwa hitam 13 Mei 1969 tersimpan dalam lipatan sejarah. Biarlah peristiwa itu menjadi satu pengajaran kepada rakyat Malaysia hari ini bahawa pentingnya keharmonian dan keamanan antara kaum kepada kestabilan negara. Rakyat Malaysia jangan iri hati terhadap kejayaan dan pencapaian kaum lain, sebaliknya menjadikannya sebagai rangsangan. Kaum-kaum yang maju dalam bidang tertentu juga jangan hanya mementingkan diri sahaja. Bimbinglah kaum-kaum yang lain supaya mereka tidak ketinggalan. Jelasnya, sikap masyarakat Malaysia yang prihatin dan penyayang dapat menjamin dan mengekalkan keharmonian negara.



B.        KEJAYAAN-KEJAYAAN YANG  TERCAPAI HASIL DARIPADA PERPADUAN KAUM.
Bersempena dengan perayaan kemerdekaan ke-55 negara, rakyat Malaysia tidak seharusnya lupa bahawa perpaduan semua bangsa di negara ini telah menjadikan sebuah negara Malaysia berdaulat seperti hari ini. Banyak perkara yang boleh dipelajari daripada apa yang pernah diperjuangkan oleh para pejuang kemerdekaan negara dan "jangan kita lupa bahawa ia adalah hasil daripada perpaduan antara masyarakat Melayu, Cina serta India terdahulu dan tidak ada satu bangsa pun di negara ini yang menyokong perjuangan komunis.

Kita juga tidak seharusnya lupa bahawa kejayaan ini adalah hasil perpaduan kita dengan etnik Sabah dan Sarawak seperti Iban, Dayak dan Kadazan Dusun, tatkala negara bangkit daripada kesan penjajahan.

Adalah mustahil untuk kita mengecapi kejayaan seperti hari ini secara sendirian. Sudah pasti ia didorong oleh kepelbagaian lapisan masyarakat yang mempunyai kelebihan masing-masing hingga menjadikan kita mampu bersaing di peringkat global. 

Segala-galanya telah dilakukan dalam semangat 1Malaysia, hingga ia telah menjadi simbol kepada kejayaan negara. Tidak mengira perbezaan etnik, fahaman agama mahupun bangsa, Rakyat Malaysia perlu terus mengekalkan semangat perpaduan. Menerusi semangat kekitaan yang menjadi teras 1Malaysia telah membolehkan rakyat Malaysia mengecapi kejayaan lebih baik dan masa depan lebih cerah.

Perlu diingat, selama ini kita telah bersama-sama menempuh segala dugaan dan cabaran sejak 55 tahun lepas. Lagipun, banyak perkara yang kita boleh banggakan. Tidak mungkin ada negara lain yang mampu menyatukan rakyatnya daripada pelbagai etnik. Pembangunan pesat di Malaysia mampu untuk membuatkan rakyat berbangga mengenainya.

Ekonomi negara kini berkembang pesat dan menjadi semakin stabil tatkala kebanyakan negara lain sedang bergelut dengan prestasi ekonomi mereka yang semakin merudum. Ketika pasaran global menjadi tidak menentu, pasaran modal dalam negara dicatatkan pada rekod tertinggi dengan FGVH dan IHH Healthcare tersenarai pada kedudukan kedua dan ketiga terbesar di duni.

Kita juga berjaya memperbaiki kedudukan global apabila menduduki tangga ke-15 terbaik dunia dalam pasaran barangan paling berkesan, menduduki tempat ke-26 dari segi pembangunan infrastruktur dan ke-18 sebagai ekonomi paling berdaya saing di dunia.

Ini semua tidak dapat dicapai jika tiada perpaduan dikalangan kita semua. Perpaduan itu sangat penting bagi sesebuah Negara bagi menjamin kemakmuran, kestabilan serta kejayaan sesebuah Negara.

IMEJ DIMINTA SAUDARA SAUDARI MASUKKAN SENDIRI


KEJAYAAN-KEJAYAAN NEGARA
Pelancongan (Tempat-tempat penarikan pelancong)

                        Pulau Redang


                        Pulau Langkawi

                Kota Afamosa (Melaka)
EKONOMI
Pelbagai Bangunan Istimewa Yang Melambangkan Kejayaan Negara
                                                
            Menara Kembar Petronas
                 
                  Menara Kuala Lumpur

                   Kereta Nasional


PENDIDIKAN
                                        
                                                           Universiti Malaya
                                     
                                              Universiti Pendidikan Sultan Idris
                                                        
                                                      Universiti Teknologi Mara


SUKAN
                                                   
                                          Dato’ Lee Chong Wei (Badminton)
                                                  

                                                    Zabidi Sharif (Sepak Takraw)
                                               
                                                   Nicol David (Skuasy)


  1. CADANGAN KEPADA PEMIMPIN NEGARA KITA CARA-CARA PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA DAPAT DIPERKUKUH DAN DIMANTAPKAN.

Sejak 31 Ogos 1957, penduduk Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum hidup bagai aur dengan tebing. Walaupun menyedari hakikat bahawa rambut sama hitam, hati lain-lain , namun masyarakat yang berbilang kaum ini hidup dengan aman dan damai. Oleh itu, pelbagai pihak perlu memegang pada kekuatan jata negara, yakni Bersekutu Bertambah Mutu”untuk mengeratkan perpaduan kaum di Malaysia. Perpaduan kaum di Malaysia seyogianya menjadi kebanggaan Negara kita.

Sebenarnya, kita bolehlah mengadakan aktiviti gotong-royong di taman-taman perumahan untuk memupuk perpaduan kaum rakyat di Malaysia. Masyarakat yang berbilang kaum akan keluar untuk bekerjasama membersihkan taman-taman perumahan. Melalui aktiviti kemasyarakatan ini, mereka dapat lebih mengenali antara satu sama lain melalui perbualan dan berinteraksi kerana tak kenal maka tak cinta. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pernah menegaskan bahawa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat; perpaduan merupakan kekuatan negara. Oleh sebab itu, saya percaya bahawa jika kita mengamalkan prinsip berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, kita dapat menikmati pembangunan nusa tercinta ini bersama-sama.

Selain itu, kita juga boleh mengamalkan amalan kunjung-mengunjung ke rumah rakan-rakan yang berlainan bangsa sempena hari-hari perayaan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia. Kebudayaan antara kaum dapat difahami dengan lebih mendalam sekali gus dapat menjana tahap kefahaman dan membina masyarakat yang saling menghormati. Amalan rumah terbuka juga boleh dipraktikkan untuk memupuk perpaduan kaum rakyat Malaysia dengan amalan saling memaafkan sesama insan. Oleh itu, sikap buang yang keruh , ambil yang jernihternyata mampu menjalinhubungkan semangat perpaduan yang tersedia utuh.

Seterusnya, pihak kerajaan sentiasa membuat anjakan paradigma demi memperkuat jalinan kemesraan rakyat dengan mengadakan banyak aktiviti pada peringkat taman-taman perumahan. Dengan langkah bestari itu, kita dapat memupuk perpaduan kaum rakyat Malaysia. Misalnya, sambutan hari keluarga dan jamuan tahunan yang diadakan oleh organisasi atau pertubuhan kerajaan dapat mempererat hubungan antara pemimpin dengan penduduk tempatan. Selain dapat mendengar rintihan hati rakyat, pemimpin turut dapat menjadi suri teladan sebagai agen perpaduan. Saya yakin, orang ramai yang berbilang kaum akan lebih mempercayai dan meyakini kewibawaan pemimpin dan saling menghormati antara satu sama lain. Cara ini pasti ini akan mengurangkan pertengkaran dan perselisihan faham antara kaum.

Di samping itu, kita juga dapat memupuk perpaduan kaum di Malaysia dengan menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan . Dengan cara ini, kita akan dapat melahirkan pemuda-pemuda yang tidak mempunyai masalah perhubungan dan pergaulan antara kaum yang berlainan. Pergaulan mesra dan semangat bersatu padu yang dijalin ini sudah mampu menjadi tiang kukuh untuk membuktikan bahawa rakyat Malaysia patuh pada Rukun Negara. Hal ini sangat penting untuk memupuk perpaduan kaum di Malaysia dalam sanubari anak-anak sejak bangku sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Semua kekangan untuk mempererat perpaduan kaum akan dapat diselesaikan jika anak-anak telah mempelajari cara-cara untuk berinteraksi dengan orang yang berlainan kaum sejak kecil.

Oleh itu semua pihak haruslah bekerjasama untuk memupuk perpaduan kaum rakyat di Malaysia. Hal ini penting supaya negara dapat berkembang maju dengan lebih lancar bawah dasar 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Saya yakin dan percaya bahawa rakyat Malaysia mengenali peribahasa ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Oleh itu, kita yang sudah melalui zaman prakemerdekaan yang perit dan pahit haruslah mengisi kemerdekaan dengan penuh semangat perpaduan kaum. Ingatlah wahai rakyatku bahawa semangat perpaduan harus disemai dan diingati sampai bila-bila agar Wawasan 2020 menjadi realiti, bukannya fantasi semata-mata.

























                                                                                                               



                    



















 




































                 



 

No comments:

Post a Comment