Monday 16 June 2014

HUBUNGAN ETNIK-STRUKTUR MASYARAKAT DAN KELAS SOSIAL


STRUKTUR MASYARAKAT DAN KELAS SOSIAL
KEADAAN SOSIAL           
Teori yang popularnya tentang asal tempat orang Melayu ialah mengikut hipotesis penghijrahan yang dikenali sebagai “Budaya Gelombang” ynag diutarakan oleh seorang ahli antropologi Austria bernama Robert Heine Geldern pada tahun 1932, iaitu Melayu ini adalah bangsa yang berasal dari Yunan, China.  Teori alternatifnya ialah bangsa Melayu memenuhi “hipetesisi peribumi” yang diutarakan oleh WIlheim Solheim II pada pertengahan 1960-an, iaitu Melayu ialah bangsa dari azali (mula asalnya) lagi berada di daerah Asia Tenggara ini. Kedua-dua ringkasan teori ini dapat ditelaah pada Solheim (t.t).  Mengikut Abbas (2002) sarjana tempatan yang pertama menentang hebat teori Geldem itu dan diikuti oleh ramai sarjana tempatan lain selepasnya ialah Sheppard (1972) (mantan pentadbir Inggeris di Malaya dan akhirnya menjadi rakyat Malaysia.                                                                  mebelum datang ke Tanah Melayu, kehidupan masyarakat Minangkabau hanya dilingkari oleh budaya setempat yang mementingkan adat. Mereka menjalankan kehidupan berlandaskan adat Pepatih yang menjadi pegangan hidup. Namun, mereka masih tidak melanggar ajaran Islam yang menjadi kepercayaan sejak kedatangan Islam.

            Dari segi ekonomi, masyarakat Minangkabau hidup sebagai petani. Mereka mengerjakan sawah dan tanaman lain sebagai sumber pendapatan yang utama. Bilangan mereka yang menceburi bidang perniagaan amat sedikit. Secara umumnya, masyarakat Minangkabau merupakan orang yang suka berdagang. Tujuan asal mereka merantau adalah mencari harta sebanyak mungkin untuk meninggikan martabat masyarakat tersebut.

            Pada awalnya, perantauan masyarakat Minangkabau hanya tertumpu dalam lingkaran alam Minangkabau sahaja, tetapi kemudiannya meluas sehingga ke kawasan petempatan masyarakat yang lain. Perantauan itu turut berlaku di Negeri Sembilan termasuk wilayah Naning di Melaka, Kelang di Selangor dan Segamat di Johor. Kawasan ini sehingga sekarang masih dikenali dengan kawasan orang Minangkabau. Penhijrahan masyarakat Minangkabau ke Tanah Melayu berlaku sekitar abad keempat belas hingga kesembilan belas. Pembukaan kawasan penempatan masyarakat Minangkabau melibatkan lima tahap iaitu pembukaan teratak, kampong, dusun, kota dan seterusnya negeri. Negeri Sembilan berasal daripada perkataan ‘Nagari’ dalam masyarakat Minangkabau yang bermaksud ‘wilayah’ yang telah mempunyai struktur sosial yang lengkap dan mencakupi pelbagai aspek. Oleh kerana pada ketika itu masyarakat Minangkabau telah mendiami sembilan wilayah, secara tidak langsung dikenali sebagai Nagari Sembilan atau Negeri Sembilan. Antara kawasan yang termasuk dalam wilayah tersebut adalah Rembau, Sungai Ujong, Johol, Naning, Jelebu, Jelai, Klang (Selangor) dan Segamat (Johor).

            Masyarakat Minangkabau merupakan masyarakat yang masih lagi berpegang teguh kepada adat Pepatih yang diwarisi sejak dahulu. Masyarakat Minangkabau di Negeri Sembilan boleh dipecahkan kepada beberapa luak mengikut suku dalam masyarakat Minangkabau. Luak tersebut boleh dibahagi kepada dua iaitu Luak Berundang dan Luak Mengandung. Luak Berundang atau Luak Adat Utama terdiri daripada empat buah luak iaitu Sungai Ujong, Rembau, Johol dan Jelebu. Setiap luak ini diketuai seorang undang yang mempunyai gelaran masing-masing. Bagi Luak Mengandung pula, luak ini terletak di tengah dan timur Negeri Sembilan. Antaranya ialah Inas, Ulu Muar, Jempol, Gunung Pasir dan Terachi. Setiap kawasan ini diketuai seorang penghulu.



ORGANISASI MASYARAKAT
            Setiap negeri-negeri lain yang mempunyai Sultan sebagai tampuk pemerintahan, masyarakat Minangkabau, khususnya di Negeri Sembilan diperintah oleh Yang Dipertuan Besar dengan dibantu oleh empat pembesar. Pembesar-pembesar ini berperanan sebagai penasihat dan melicinkan jentera pentadbiran. Yang Dipertuan Besar menjadi penaung diikuti dengan Undang atau Penghulu, kemudian Lembaga, Buapak, Besar dan akhir sekali Kadim.

            Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar merupakan jawatan yang tertinggi dalam masyarakat Minangkabau. Sebelum itu, Yang Dipertuan Besar dikenali sebagai Yamtuan. Kuasa Yang Dipertuan Besar meliputi pelbagai aspek sama ada politik, sosial mahupun ekonomi yang melibatkan semua kawasan pemerintahan baginda. Sungguhpun Yamtuan mempunyai hak terhadap semua hal yang berkaitan dengan pentadbiran, tetapi tanggungjawab baginda amat kecil kerana sebarang masalah terlebih dahulu diselesaikan oleh Datuk Undang. Hanya perkara yang sukar sahaja boleh dirujuk kepada Yamtuan untuk diselesaikan. Namum begitu, keputusan masih tidak boleh dibuat oleh Yamtuan kerana keputusan terlebih dahulu dibincangkan oleh Undang atau Penghulu. Inilah yang menghadkan kuasa Yamtuan. Selain itu, Yamtuan adalah ketua agama yang dipertanggungjawabkan tentang hal-hal agama. Segala kemusykilan dan keputusan yang berkaitan dengan agama, perlu dirujuk kepada Yamtuan sebelum diambil keputusan.

            Undang atau Penghulu merupakan pemimpin kedua tertinggi dalam masyarakat Minangkabau. Undang boleh dianggap sebagai pemerintah dalam kawasannya. Semua hal yang berkaitan dengan pentadbiran terlebih dahulu dirujuk kepada Undang. Namun begitu sebelum menjatuhkan sesuatu hukuman, Undang terlebih dahulu berbincang dengan Majlis Lembaga.Bagi menjadi seorang Undang atau Penghulu, seseorang itu harus berketurunan suku Biduanda kerana suku ini lebih tinggi tarafnya dari suku yang lain. Terdapat juga Undang yang dilantik daripada suku lain atas pemilihan Lembaga. Pemilihan Undang dijalankan secara bergilir-gilir. Undang adalah sebagai pentadbir yang dibantu oleh Lembaga. Gelaran Undang adalah berbeza-beza mengikut sesuatu luak..Dalam pelaksanaan adat, Undang boleh menjatuhkan hukuman mati tetapi perlu mendapat kebenaran Majlis Lembaga terlebih dahulu. Sekiranya Majlis Lembaga tidak bersetuju, hukuman bunuh tidak boleh diteruskan. Sungguhpun jawatan Undang atau Penghulu boleh disandang seumur hidup, namun pemecatan boleh dilakukan oleh Majlis Lembaga sekiranya melanggar peraturan yang ditetapkan. Ini penting untuk menjaga imej Undang yang dikatakan sebagai golongan pemerintahan yang baik dan cekap.

            Lembaga adalah ketua bagi setiap suku yang terdapat dalam masyarakat Minangkabau. Jawatan Lembaga dipegang secara bergilir-gilir dikalangan Perut. Pemilihan ini dibuat atas persetujuan ahli suku setelah diterima oleh Undang. Seorang Lembaga akan menyandang jawatan tersebut seumur hidup selagi mampu. Namun begitu, pemecatan masih boleh dilakukan ke atas Lembaga sekiranya melanggar peraturan yang ditentukan.

            Tanggungjawap Lembaga adalah menjaga kebajikan ahli dalam sukunya. Lembaga akan dibantu oleh Buapak dan Besar manakala anak buah pula ditadbir secara langsung oleh Buapak. Setiap kesalahan anak buah akan diketahui oleh Buapak dan seterusnya dilaporkan kepada Lembaga. Lembaga yang akan memberitahu kepada Undang setiap kesalahan atau apa-apa sahaja yang terjadi di bawah jagaannya. Secara ringkasnya boleh dikatakan Lembaga adalah sebagai hakim yang menjadi simbol kepada masyarakat Minangkabau.

            Buapak merupakan ketua bagi kumpulan yang lebih kecil dipanggil Perut dalam masyarakat Minangkabau. Bagi jawatan Buapak, pemilihan dilakukan dari kalangan anggota Perut dalam suku tersebut. Jawatan Buapak dipegang secara bergilir-gilir dan disahkan oleh Lembaga dan Undang. Untuk menjawat jawatan Buapak, seseorang itu perlu mempunyai ikatan kekeluargaan yang kuat dalam kelompok nasab ibu. Buapak juga boleh dipecat oleh ahlinya dengan persetujuan Lembaga sekiranya terdapat sebarang kesalahan walaupun jawatan itu seumur hidup. Tugas buapak hanya di kalangan ahli perut sahaja. Sekiranya terdapat kesalahan besar seperti kecederaan atau kematian di kalangan ahli perut, Lembaga yang akan mengambil alih kerana tugas Buapak tidak mencakupi hal-hal seumpama itu. Selain itu Buapak juga bertanggungjawap dalam pernikahan atau penceraian.

            Besar adalah gelaran untuk mengetuai sesuatu kelompok keluarga. Besar atau Tua Ruang akan dilantik secara giliran oleh suara ahli ruang. Perlantikan untuk jawatan Besar tidak semestinya terdiri dari lelaki yang tertua, tetapi memadai dengan lelaki yang tahu tentang adat istiadat masyarakat Minangkabau. Besar mempunyai kuasa yang terhad di kalangan anggotanya kerana setiap kesalahan perlu dirujuk kepada Buapak atau Lembaga terlebih dahulu.

            Kadim dilantik sebagai wakil dalam kekeluargaan serumpun. Kebiasaannya Kadim daripada lelaki yang tertua dan mengetahui adat istiadat masyarakat Minangkabau. Sebagai seorang ketua dalam kelompok yang kecil, Kadim juga perlu memastikan keharmonian setiap ahli. Kadim boleh bertindak sebagai penyelesaian setiap perkara yang kecil. Sungguhpun demikian peranan yang dimainkan oleh Kadim amat kecil dan tidak boleh mentadbir masalah yang lebih besar daripada itu.

            Masyarakat Minangkabau boleh dikelompokkan kepada beberapa buah suku yang besar. Setiap suku pula boleh dipecahkan kepada beberapa jumlah kecil yang dipanggil perut. Perut pula boleh dipecah kepada yang lebih kecil dipanggil ruang dan setiap ruang pula mengandungi beberapa rumpun. Lazimnya di Negeri Sembilan terdapat 12 suku yang utama iaitu Biduanda, Batu Hampar, Pata Kumbuh (Pekumbuh), Mungkal, Tiga Nenek, Sri Melenggang (Semelenggang), Sri Lemak (Selemak), Batu Belang, Tanah Datar (Tedatar), Anak Melaka, Anak Acheh dan Tiga Batu. Jumlah suku lebih banyak dan berubah mengikut kawasan. Rembau misalnya mempunyai 27 suku, Ulu Muar (18 suku), Jelebu (12 suku), Jempol (12 suku), Terachi (8 suku), luak Inas (7 suku) dan Gunung Pasir (7 suku). Di kawasan Naning pula mempunyai suku yang teramai sehingga melebihi 49 suku. Setiap suku diketuai oleh seorang Lembaga yang mempunyai gelaran tertentu. Dalam masyarakat Minangkabau, suku diistilah sebagai kelompok kaum yang berasal daripada seorang nenek.

            Pada dasarnya pembahagian suku boleh dibahagikan kepada empat yang utama iaitu Koto, Piliang, Bodi dan Caniago. Namun kini bilangan suku semakin banyak kesan daripada kemasukan lebih ramai lagi masyarakat Minangkabau. Masyarakat Minangkabau menganggap suku merupakan kelompok keluarga yang besar dan berasal daripada moyang perempuan yang sama. Oleh itulah setiap ahli dalam suku menganggap mereka bersaudara.

            Penentuan suku adalah mengikut suku ibu. Sekiranya seorang lelaki dari suku Tiga Nenek berkahwin dengan perempuan suku Biduanda, bermakna keturunannya termasuk dalam suku Biduanda. Lelaki tersebut pula mendapat perlindungan dari suku Biduanda dan dia juga perlu taat setia kepada sukunya, iaitu Tiga Nenek. Oleh itu walaupun telah berkahwin atau telah melakukan kebaikan untuk suku yang lain, tetapi rasa kecintaan terhadap suku asalnya perlu ada.


KEPERCAYAAN
            Masyarakat Minangkabau turut menganut agama Islam yang telah dibawa oleh mubaligh Islam sejak kurun keempat belas lagi kerana Islam telah terlebih dahulu bertapak di Sumatera sebelum ke Tanah Melayu. Oleh itu, masyarakat Minangkabau telah memeluk Islam sebelum kedatangan mereka ke Tanah Melayu. Lazimnya, mereka mempunyai beberapa kepercayaan yang lain seperti animisme dan sebagainya. Di Malaysia, seluruh masyarakat Minangkabau menganut ajaran Islam. Mereka menganut agama Islam yang bermazhab Syafi’e dan termasuk dalam Ahli Sunnah Waljamaah. Selain itu, mereka turut mengerjakan lima rukun Islam di samping berpegang teguh kepada rukun Iman sebanyak enam perkara. Dalam hal-hal lain, kebanyakan mereka melakukan beberapa perkara yang berlandaskan kepada ajaran Islam dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang. Walaupun terdapat percanggahan antara ada Pepatih dengan ajaran Islam, tetapi masyarakat Minangkabau tahu menyesuaikan adapt tersebut supaya tidak menyalahi dari segi pandangan Islam. Ini penting supaya ajaran Islam terus terpelihara dengan baik.

            Pada ketika masyarakat Minangkabau masih belum memeluk Islam, mereka mempercayai beberapa perkara yang berkaitan dengan makhluk-makhluk halus yang merupakan kepercayaan Animisme. Oleh itu, mereka percaya setiap tempat mempunyai makhluk halus yang menjaga kawasan tersebut. Masyarakat Minangkabau juga seringkali melakukan semahan setiap kali membuka penempatan baru. Semahan ini biasanya melibatkan penyembelihan ayam atau kambing yang kemudian dijamu kepada makhluk halus tersebut. Bahan semahan lain yang turut digunakan ialah seperti bertih, pulut kuning, beras dan sebagainya. Barang semahan akan diletakkan di batu-batu besar, kayu besar, busut atau apa-apa sahaja yang difikir boleh mempunyai penunggu. Adalah dipercayai sekiranya mereka tidak memberi jamuan kepada makhluk-makhluk halus tersebut, sesuatu yang tidak baik seperti sakit yang teruk akan menimpa di kalangan mereka atau becana yang lain sehingga memebri kesusahan kepada mereka.

            Selain mempunyai kepercayaan animisme, mereka juga percaya kepada semangat. Semangat itu merupakan satu kekuatan yang tidak boleh digambarkan tetapi tetap ada sama ada pada diri sendiri, tempat mahupun pada sesuatu binatang. Semangat itu juga perlu dijaga kerana sekiranya semangat telah hilang, bermakna seseorang itu akan mendapat susah kerana semangat yang menjadi kekeuatan telah tiada. Seseorang bayi mempunyai semangat yang masih lembut dan tidak boleh disergah. Bayi yang terperanjat akan kehilangan semangat sehingga mengakibatkan bayi tersebut menangis. Begitu juga dengan kanak-kanak atau golongan dewasa yang akan dipulihkan semangatnya apabila terperanjat setelah melihat sesuatu yang menakutkan. Jika tidak, perasaan takut akan dihadapi pada masa hadapan. Jika sesuatu tempat telah kehilangan semangat kerana dicemari perbuatan sumbang manusia, menjadikan kawasan tersebut tidak selamat. Kawasan itu akan mendatangkan penyakit dan tidak selamat untuk diduduki. Untuk memulihkan, semahan perlu dilakukan.


BAHASA
Bahasa Minangkabau mempunyai keistimewaan yan tersendiri. Bahasa yang digunakan oleh masyarakat Minangkabau dan masyarakat Melayu Negeri Sembilan mempunyai dialek yang hampir sama dengan masyarakat Minangkabau di Sumatera, Indonesia. Walaubagaimanapun, dialek masyarakat Minangkabau begitu berbeza sekali dengan bahasa-bahasa dialek negeri-negeri di Utara dan Pantai Timur. Selain cara pertuturan, masyarakat Minangkabau di Negeri Sembilan mempunyai seni bahasa dan ungkapan tersendiri.


BAHASA MELAYU

BAHASA MINANGKABAU
Boleh
Bulieh
Belum
Bolum
Berapa
Barapo
Berenang
Baranang
Burung
Burueng
Mengapa
Mangapo
Jatuh
Jatueh
Terbang
Tabang

            Dari segi perbualan dalam keluarga dan sesama masyarakat Minangkabau, bahasa Minang tetap merupakan alat perhubungan yang utama. Walaupun keturunan Minang kini telah menerima pendidikan dalam bahasa Melayu dan Inggeris, penggunaan bahasa Minang masih diteruskan di rumah ataupun dengan masyarakat setempat. Tambahan pula, mereka hidup dalam lingkungan masyarakat Minangkabau.
TEROMBO ADAT
            Masyarakat Minangkabau mengamalkan adat Pepatih. Dallam Adat Pepatih, terdapat empat makna yang terjelma dalam sistem sosialnya. Keempat-empat makna itu ialah Adat sebenar adat, Adat yang teradat, Adat yang diadatkan dan Adat Istiadat. Fahaman sosial yang mereka pegang melibatkan hal-hal yang berkaitan dengan peranan seorang suami dan isteri dalam membentuk keluarga yang harmoni terutamanya dari segi kekuasaan dalam suku, aturan tempat tinggal, perwarisan harta dan membalas dendam. Bagi aspek kekuasaan dalam suku, masyarakat Minangkabau mengamalkan sistem matrilineal yang menunjukkan kaum perempuan mempuanyai kuasa dalam keluarga. Namum begitu, pegangan pada peringkat kelompok (mamak) hinggalah ke suku (penghulu) jawatan tersebut masih disandang oleh kaum lelaki. Ini bertepatan dengan konsep Tiga Tungku Sejarangan dan Tiga Tali Sepilin yang menghkehendaki kaum lelaki menerajui hal yang berkaitan dengan adat, keagamaan dan cerdik pandai.

            Bagi konsep aturan tempat tinggal, mengikut amalan masyarakat Minangkabau, setiap pasangan yang baru mendirikan rumahtangga menyatakan pihak lelaki perlu menetap di rumah isteri. Oleh itu, selepas persandingan, pengantin lelaki akan dihantar ke rumah pengantin perempuan atau dijemput oleh wakil pengantin perempuan. Suami tidak mempunyai hak untuk sentiasa mendampingi isteri yang baru dikahwini. Namun begitu, cara ini dianggap kuno dan masyarakat Minangkabau telah meninggalkan amalan tersebut.
            Dalam masyarakat Minangkabau, terdapat dua kategori pembahagian harta iaitu harta yang berbentuk material dan harta pusaka. Harta berbentuk material adalah seperti sawah ladang, rumah gadang, emas perak dan harta-harta sepencarian. Harta ini dinamakan harta tinggi. Harta ini akan diwarisi daripada ibu kepada anak perempuan sahaja. Anak lelaki tidak mempunyai hak untuk mewarisi harta itu melainkan menjaga harta tersebut dan boleh memakan hasil sekiranya diusahakan. Harta pusaka pula ialah harta yang diwarisi sejak nenek-moyang dahulu. Harta ini dinamakan sebagai harta basalin kerana akan diturunkan daripada satu generasi kepada satu generasi yang lain. Harta ini pula akan diturunkan daripada saudara lelaki sebelah ibu kepada anak lelaki saudara perempuannya. Harta pusakan ini adalah hak lelaki tetapi pewarisan bukan kepada anak tetapi kepada anak saudara.

            Setiap masyarakat Minangkabau menganggap mereka merupakan adik beradik dalam setiap suku. Mengikut kepercayaan, suku berasal daripada nenek-moyang yang sama. Oleh itu, kesepakatan dan sikap kekeluargaan adalah penting bagi mereka. Dalam soal membalas dendan, rasa tanggungjawab adalah penting. Ini disebabkan sekiranya salah seorang ahli suku telah dianiaya oleh orang lain, bahang tersebut turut dirasai oleh ahli mereka yang lain. Telah menjadi tanggungjawab setiap ahli dalam suku untuk membantu mereka yang teraniaya.

            Masyarakat Minangkabau menganggap tanah merupakan sesuatu yang paling bermakna dalam kehidupan mereka. Tanah mempunyai kepentingan dalam ekonomi. Mengikut adat tanah boleh dibahagi kepada beberapa jenis yang utama iaitu tanah waris adalah tanah watan, tanah suku adalah tanah yang telah diberikan kepada peneroka dan tanah tebus adalah tanah yang telah dijual oleh kerana sebab tertentu. Tanah waris atau tanah dara boleh diterokai setelah mendapat kebenaran daripada Lembaga atau Undang untuk dimajukan. Kaum perempuan memikul tanggungjawab terhadap harta pusaka jadi mereka juga harus memikul dan menanggung hutang pusaka. Oleh kerana masyarakat Minangkabau adalah berdasarkan nasab ibu, sistem pewarisan tanah adalah berdasarkan waris mengikut susunan yang tertentu iaitu anak perempuan, kadim perempuan serumpun, kadim perempuan seruang, waris perempuan seperut dan perempuan sesuku.

            Lelongan harta boleh dilakukan sekiranya pewaris telah meninggal dunia dan meninggalkan banyak harta. Keutamaan diberi kepada waris-waris terdekat dalam proses lelongan harta pusaka. Sekiranya tidak mempunyai adik-beradik, lelongan boleh dibuat mengikut susunan yang tertentu iaitu waris bersanak, waris sanak ibu, waris sanak datuk, waris sanak nenek, waris sanak moyang, rumpun berkenaan, perut berkenaan dan suku berkenaan. Walau apapun lelongan hanya terbuka kepada kaum perempuan sahaja. Kaum lelaki tidak mempunyai hak untuk membeli tanah tersebut.

            Adat Pepatih berasal daripada gelaran orang yang menyusur Adat Tuah Disakato iaitu adat yang diamalkan oleh Datuk Parapatieh Nan Sebatang (Datuk Perpatih Nan Sebatang). Di Negeri Sembilan, amalan adat Pepatih masih terus dijalankan. Ini boleh dilihat dari segi politik yang diketuai oleh Yang Dipertuan besar dan dibantu oleh empat orang Undang Luak. Kemudian terdapat beberapa ketua-ketua adat lain seperti Lembaga, Buapak dan beberapa ketua-ketua adat yang lain. Dari segi perkahwinan pula, masyarakat Minangkabau masih mengamalkan perkahwinan mengikut suku. Oleh itu, terdapat satu batasan dalam memilih jodoh. Jadi secara umumya, boleh dikatakan ada Pepatih sukar dipisahkan daripada masyarakat Minangkabau yang telah sebati dengan kehidupan mereka.
           


IMPLIKASI KEPELBAGAIAN SOSIO-BUDAYA
Terdapat pelbagai implikasi kepelbagaian sosio-budaya di dalam sebuah bilik darjah terhadap guru, murid dan sekolah. Seperti yang kita ketahui, sebuah bilik darjah berkemungkinan mempunyai murid-murid dari pelbagai budaya, kaum dan agama. Oleh itu, sebagai seorang guru yang berinovatif, cemerlang dan berwawasan, perkara ini harus dipandang serius supaya dapat menimbulkan susasana pembelajaran yang efektif dan kondusif.

Untuk mewujudkan susasana pembelajaran yang harmoni di dalam bilik darjah, seharusnya tidak wujud pendiskriminasian terhadap golongan tertentu. Jika ini berlaku, akan mendatangkan banyak kesan negatif terhadap murid itu sendiri. Oleh itu, untuk mengelakkan pendiskriminasian di kalangan murid-murid, pihak sekolah seharusnya mengambil langkah yang sewajarnya agar semua pelajar mendapat layanan yang sama rata tanpa berlakunya pilih kasih terhadap golongan tertentu. Selain itu, perhubungan di antara guru dengan murid serta murid dengan murid harus diperbaiki dari semasa ke semasa untuk mewujudkan hubungan yang mesra dan harmoni. Ini boleh dilakukan dengan mengetahui dan memahami latar belakang dan kepercayaan antara satu sama lain. Dengan cara ini, akan menimbulkan sikap hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain. Sementara itu, adalah menjadi tugas setiap guru untuk menimbulkan kesefahaman dan perpaduan di dalam bilik darjah. Guru seharusnya menerapkan nilai-nilai murni di dalam diri murid-murid seperti sikap bekerjasama, toleransi, bantu-membantu dan bertolak ansur antara guru dan murid serta murid dengan murid. Guru seharusnya mencuba sedaya upaya untuk menyingkirkan dan mengurangkan stereotaip dan prejudis di kalangan murid-murid terutamanya dari aspek perkauman, taraf hidup individu, serta keupayaan dan kebolehan seseorang. Sebagai seorang pendidik, adalah amat penting untuk mewujudkan peluang kepada murid-murid untuk bekerja di dalam kelompok yang mempunyai pelbagai bangsa dan kaum supaya murid-murid tidak berpuak-puak dan secara tidak langsung memberi peluang yang sama rata kepada murid untuk mengecapi kejayaan dan ini sekaligus dapat meningkatkan keyakinan diri murid.

Pihak sekolah juga memainkan peranan yang penting bagi mewujudkan bilik darjah yang mesra budaya iaitu dari segi komunikasi, budaya sekolah, tahap sosial dan pentadbiran. Bagi aspek komunikasi, penggunaan dwibahasa digunakan bagi meningkatkan pemahaman murid-murid selain guru memvariasikan kaedah pengajaran di dalam kelas untuk menarik minat murid-murid. Selain itu, guru seharusnya lebih berhati-hati mengenai sensitiviti yang berpunca dari kepelbagaian sosiobudaya. Budaya sekolah yang cemerlang memberi kesan positif kepada semua murid tidak kira bangsa dan agama di mana pihak sekolah boleh menganjurkan pelbagai aktiviti sekolah yang mesra budaya seperti menghormati dan menyambut perayaan pelbagai kaum. Aktiviti yang diadakan juga mestilah ditikberatkan tanpa menyentuh mana-mana sensitiviti kaum, budaya, cara hidup, kepercayaan serta amalan semua murid-murid di sekolah. Dari segi tahap sosial pula, pihak sekolah seharusnya menerapkan penerimaan budaya luar dengan meningkatkan pengetahuan murid-murid serta membuka minda mereka untuk menerima budaya laiin di samping mengurangkan prejudis dan meningkatkan kepekaan terhadap budaya tersebut.


KAEDAH PENGAJARAN
            Terdapat pelbagai kaedah pengajaran yang boleh digunakan oleh guru untuk mewujudkan persekitaran budaya yang mesra di dalam sebuah bilik darjah. Kaedah pertama yang boleh digunakan oleh seseorang guru ialah kaedah berpusatkan murid di mana pengajaran dan pembelajaran memerlukan interaksi sesama murid. Melalui kaedah ini, murid-murid memainkan peranan yang utama di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Murid-murid didorong untuk melibatkan diri secara aktif di dalam pembelajaran melalui gerak kerja berkumpulan, perbincangan, penyelesaian masalah, aktiviti permainan dan sebagainya. Di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, muridlah yang memainkan peranan utama manakala guru berperanan sebagai fasilitator dan memantau murid-murid semasa menjalankan aktiviti. Komunikasi dan interaksi diantara guru dengan murid adalah komunikasi dua hala di mana guru menggunkan teknik penyoalan manakala murid akan memberi respon dengan memberi idea dan pandangan. Interaksi di antara murid-murid dapat diwujudkan di mana skill sosial murid-murid dapat diasah dan dibentuk semasa aktiviti dijalankan iaitu dengan saling membantu, dan bekerjasama.

            Kaedah pengajaran yang kedua yang boleh digunkan oleh guru ialah kaedah berasakan tugasan di mana pengajaran dirancang sepenuhnya oleh guru. Aktiviti yang dirancang mestilah menarik kerana boleh menarik minat murid-murid untuk melibatkan diri secara aktif. Aktiviti yang boleh dirancang oleh guru ialah aktiviti lakonan, nyanyian, membuat model, debat, perbincangan dan sebagainya. Aktiviti seumpama ini boleh melahirkan individu yang kreatif di samping memberi nafas baru di dalam sesebuah bilik darjah. Semasa murid menjalankan aktiviti tersebut, secara tidak langsung mereka akan berkomunikasi dan berinteraksi sesama sendiri untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh guru. Oleh itu, murid-murid dari pelbagai bangsa dapat bekerjasama memberi buah fikiran dan pandangan dalam menyelesaikan sesuatu masalah dan secara tidak langsung dapat mewujudkan bilik darjah yang mesra budaya.










BIBLIOGRAFI



BIBLIOGRAFI

LAMPIRAN



PENUTUP
           
Masyarakat Minangkabau pada asasnya adalah sebahagian daripada masyarakat Melayu kerana semua ciri yang ada pada masyarakat tersebut ada pada masyarakat Melayu. Cuma yang membezakan mereka daripada masyarakat Melayu islah corak hidup mereka.

Masyarakat Minangkabau mengamalkan adat Pepatih yang lebih memberi keistimewaan kepada kaum perempuan dan menitikberatkan suku.Di Malaysia, kebanyakan masyarakat Minangkabau masih tertumpu di Negeri Sembilan. Oleh itu, corak pentadbiran Negeri Sembilan unit berbanding dengan negeri-negeri lain.

Bagaimanapun, kini adat Pepatih semakin kurang diminati kerana generasi muda mahu membebaskan diri daripada sebarang ikatan yang mengongkong kehidupan mereka seharian. Kini hanya golongan tua sahaja yang masih mengamalkan adat tersebut.


No comments:

Post a Comment