PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT
PENGENALAN
Dalam
era ekonomi berasaskan ilmu pengetahuan, negara amat memerlukan modal insan yang
berilmu pengetahuan. Justeru, daripada petikan ucapan Naib Canselor UPM
dimajlis Penyampaian Anugerah Cemerlang antara lain menyebut:
”Ilmu
dan teknologi yang dimiliki pada hari ini akan ketinggalan dan lapuk pada masa hadapan.
Oleh yang demikian kita perlu mengemaskini ilmu pengetahuan agar selari dengan
konsep pembelajaran sepanjang hayat supaya menjadi manusia yang relevan kepada
pembangunan dan kemajuan negara”
(Mohd. Zohadie, 2002)
Malaysia
masih baru untuk menjadikan pendidikan sepanjang hayat sebagai agenda pembangunan
negara jika dibandingkan dengan negara maju seperti Amerika Syarikat, German dan
Australia. Oleh yang demikian Perdana Menteri menekankan dalam konteks dunia
global sekarang, modal insan yang benar-benar berkualiti sangat diperlukan jika
negara ingin melangkah ke era ekonomi global yang berpaksikan pengetahuan (B.H,
1 Mei 2006).
Sehubungan itu, rakyat sebagai modal insan di
negara ini perlu sentiasa menguasai ilmu. Pada hari ini, modal insan yang
berkualiti adalah satu kemestian bukan lagi satu kelebihan. Bagi melahirkan
modal insan yang berkualiti, kerajaan dan rakyat harus bersama-sama mempunyai tanggungjawab
yang perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen. Konsep pembelajaran sepanjang
hayat seperti yang didefinisikan oleh OECD (Organisation for Economic
Cooperation and Development) ialah untuk menjadikan individu dalam sesebuah
masyarakat yang telah didorongkan untuk terus belajar menerusi hayat mereka
samada secara formal dan takformal
(OECD
1996).
Pendidikan sepanjang hayat tidak terhad kepada
golongan yang bekerja sahaja malah ia perlu melewati semua golongan termasuk
suri rumah, pesara, golongan kurang upaya dan warga emas. Pendidikan sepanjang
hayat bermatlamat untuk meningkatkan kualiti kehidupan individu dan masyarakat.
Tujuannya ialah untuk memberi latihan dan pendidikan kepada semua orang dengan
salah satu matlamat untuk membangunkan modal insan. Di alam persekolahan, pembangunan
modal insan difokuskan untuk memberi tumpuan kepada sistem nilai, disiplin, sahsiah,
akhlak dan jati diri pelajar bagi melahirkan tenaga kerja yang kompeten dalam
bidang sains dan teknologi, inovatif, kreatif serta boleh dipasarkan.
Dikalangan orang-orang dewasa proses pembelajaran tidak terhenti selepas alam
persekolahan malah mesti ada kesinambungan untuk terus belajar hinggá keliang
lahat.
ISU
DAN CABARAN
Pembelajaran
sepanjang hayat telah memperkenalkan bidang objektif yang luas dan didefinisikan
seperti berikut, “semua aktiviti pembelajaran yang diikuti adalah bertujuan
untuk menambah pengetahuan, kemahiran-kemahiran dan tahap kecekapan setiap
orang, atau perspektif yang ada hubungan dengan pekerjaan”(European Commission,
2001). Cabaran yang sedang ditangani oleh kerajaan Malaysia ialah untuk
membenteras buta huruf dikalangan orang-orang dewasa. Kumpulan ini tidak
berpeluang mengikuti pembelajaran formal diperingkat kanak-kanak dan remaja
disebabkan oleh faktor penjajahan, kemiskinan dan persekitaran yang jauh dari pembangunan.
Kita berasa sungguh bangga kerana mendapat pengiktirafan oleh badan antara bangsa
seperti UNESCO kerana kadar buta huruf merupakan yang terendah di dunia. Disebaliknya
sikap kurang membaca dikalangan rakyat negara ini sangat ketara apabila diberitahu
bahawa hanya membaca purata setengah halaman dalam setahun. Sufean Hussin (2004)
menjelaskan bahawa sebahagian besar daripada masyarakat kita pandai membaca,
pandai menulis dan pandai mengira tetapi mereka tidak ada minat dan semangat
membaca untuk meluaskan ilmu pengetahuan dan pemikiran mereka. Sistem
pendidikan selalu dilihat sebagai proses pembudayaan atau pemasyarakatan (Abd.
Rahim, 2003). Nampaknya selepas 50 tahun kemerdekaan masyarakat masih kurang membaca,
dimanakah silapnya?
Cabaran
seterusnya ialah bagaimana untuk membudayakan ilmu di dalam komuniti setempat.
Membudaya di sini membawa maksud supaya menjadi amalan dalam hidup. Natijahnya akan
berlaku sesuatu perubahan dalam kehidupan hasil dari pemerolehan dan
perkembangan ilmu pengetahuan. Inilah budaya yang hidup subur dan berkembang di
negara maju. Banyak lagi yang perlu dilihat dan dipertontonkan kepada kita
mengapa barat berjaya membudayakan ilmu sedangkan masyarakat kita masih
meraba-raba menuju kearah yang sama. Adakah sukar untuk mendapat bahan bacaan
atau harganya sangat tinggi di negara kita? Adakah bahan bacaan bukan dalam
bahasa sendiri menyebabkan kita kurang berminat untuk membaca kerana tidak
faham?.
Selain
daripada itu budaya masyarakat yang mengutamakan ilmu pengetahuan terelak
daripada menerima gelaran masyarakat primitif atau andaian katak di bawah
tempurung.Budaya ilmu juga memungkinkan kewujudan sebuah masyarakat yang
mempunyai world-view yang lebih luas, iaitu pemikiran yang lebih terbuka. Dari
persfektif yang lain pendidikan semestinya dijadikan satu proses yang
berterusan dalam kehidupan setiap insan. Pendidikan memainkan peranan yang
besar dalam pembentukan generasi akan datang serta pencapaian objektif negara.
Semakin maju sesebuah negara maka semakin meningkat permintaan untuk tenaga
mahir dan yang berpengetahuan. Tidak boleh dinafikan bahawa pendidikan
merupakan
wahana
utama bagi menerap idea-idea baru, teknologi terkini, dan menerapkan kepakaran
dalam masyarakat. Disaat penulisan ini
dibuat, banyak diperkatakan tentang mutu pendidikan di negara kita merosot.
Kemerosotan ini dilihat melalui senarai kedudukan universiti di dunia.
Disamping itu,sebilangan besar tanggapan masyarakat terhadap mutu pendidikan di
negara kita, Malaysia ialah kegagalan mendapatkan pekerjaan selepas tamat
pengajian. Kalaulah pandangan ini diterima
pakai
sebagai ukuran, maka sampai bila pun kita tidak mampu meletakkan mutu
pendidikan separas dengan negara maju di dunia. Nadler (1984) mengusulkan
bahawa pendidikan mengandungi aktiviti-aktiviti yang direka untuk menyediakan
para pekerja dengan kerja-kerja pada masa hadapan. Minat untuk mempelajari
sesuatu merupakan sifat yang utama dalam pembangunan modal insan. Individu atau
pekerja yang berminat ialah pekerja yang produktif (Mahmood Nazar,2005).
Hal ini bertentangan dengan realiti akibat
kurang berminat untuk menambah ilmu pengetahuan, kita dapati ramai rakyat
Malaysia terutamanya suri rumah tidak mempunyai pengetahuan teknologi dan lebih
bergantung kepada pihak lain. Misalnya, sebagai pengguna peralatan elektrik
dirumah mereka tidak pandai membaiki peralatan yang rosak walau pun diperingkat
yang asas sahaja. Petunjuk ini amat berbeza dengan ketara jika dibandingkan
dengan suri rumah di negara maju yang mempunyai pengetahuan asas dari aspek
teknologi yang memungkin mereka tidak bergantung kepada pihak lain. Perubahan
pada tahap individu ini bergantung kepada penguasaan kemahiran baru,
pembentukan sikap baru, serta pembentukan
pemahaman
baru (Tor Geok Hwa, 2004) Ini seharusnya merupakan proses pembelajaran sepanjang
hayat yang kurang diamalkan oleh suri rumah di negara ini.
PERANAN
SEKOLAH DALAM PELAKSANAAN PROGRAM PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT.
Hubungan sekolah dan komuniti begitu penting.
Tanpa komuniti, sekolah tidak wujud manakala tanpa sekolah komuniti tidak akan
berkembang (A.Rizal et.al. ,2008). Oleh yang demikian sekolah dilihat sama
penting dengan komuniti untuk membangunkan modal insan dalam komuniti setempat.
Justeru itu, sekolahlah yang boleh berperanan memberikan perkhidmatan yang
paling rapat dan berpanjangan kepada hampir semua golongan masyarakat dalam
komuniti setempat. Jika diimbas kembali peranan sekolah bolehlah dikatakan
sebagai institusi pendidikan yang tertua dan wujud ditengah-tengah komuniti
perlulah melangkah setapak lagi untuk melebarkan peranan memberi pendidikan
bukan setakat kanak-kanak sekolah malah kepada ibu bapa yang memerlukannya. Sekolah juga dilihat mempunyai potensi yang
besar untuk memainkan peranan menyuburkan kursus-kursus pendek dan sepanjang
hayat kepada komuniti setempat asalkan tidak menggaggu kelangsungan
pembelajaran formal yang sedia ada. Diantara peranan yang boleh dimainkan bagi meletakkan
sekolah sebagai multi focus centre adalah seperti berikut:
3.1 Pengiktirafan
sekolah sebagai pusat sosialisi dalam komuniti setempat. Sekolah
bukan
sahaja diterima sebagai gudang melahirkan generasi muda yang berilmu
pengetahuan malah sebagai tempat berinteraksi dikalangan ibu bapa melalui
persatuan ibu bapa dan guru. Peranan PIBG banyak membantu dari segi idea,
kewangan dan kepimpinan telah membantu kecemerlangan murid-murid dalam bidang
akademik. Komuniti juga dilibatkan dalam aktiviti sukan sekolah dan
majlis-majlis seperti sambutan perayaan utama, kemerdekaan dan sebagainya. Jika
ahli dalam komuniti boleh membantu sekolah, disebaliknya apakah sumbangan
sekolah kepada komuniti setempat selain daripada memberi pendidikan formal
kepada anak-anak komuniti setempat.
3.2
Kedudukan sekolah paling hampir dihati masyarakat.
Masyarakat
lebih hampir pada sekolah jika dibandingkan dengan institusi lain kerana ia
bersifat setempat sedangkan institusi lain bersifat nasional. Kedudukan ini
meletakkan sekolah sebagai multi focus yang berkesan kepada masyarakat. Komuniti
telah lama menganggapkan sekolah adalah sebahagian daripada mereka. Keadaan ini
memudahkan pelaksanaan pembelajaran sepanjang hayat dikalangan orang-orang
dewasa dalam komuniti setempat.
3.3
Amalan kolaborasi membawa kepada menang-menang kepada sekolah.
Sekolah
dapat mengambil menfaat yang banyak melalui amalan kolaborasi yang boleh
membawa keuntungan kepada kedua-dua pihak melalui teknik
menangmenang.Diantaranya ialah:
Gunasama kemudahan
Kemudahan-kemudahan
itu seperti bilik darjah, padang dan peralatan sekolah. Kakitangan sekolah
boleh bersama-sama mengikuti program yang dianjurkan oleh komuniti. Komuniti
melalui agensi kerajaan yang lain bolehlah meletakkan peralatan-peralatan di
sekolah dan boleh digunasama oleh anak-anak mereka di sekolah.
Gunasama kepakaran
Komuniti
akan membawa tenaga pengajar pakar dari luar untuk mengajar kursus pendek dan
sepanjang hayat di sekolah semasa cuti atau disebelah malam dan pihak sekolah
bolehlah mengambil peluang untuk mempelajari ilmu-ilmu yang baru. Ada kalanya
guru sekolah juga berpeluang mengajar seperti bahasa Inggeris dan kemahiran
hidup kepada suri rumah dan lain-lain golongan dalam komuniti setempat. Di sinilah
mereka berpeluang mendekati dan memahami dengan lebih dekat ahli-ahli dalam
komuniti secara tidak langsung membantu meningkatkan disiplin anak-anak mereka
termasuk kecemerlangan dalam bidang akademik.
4.0
KEKANGAN DAN HALANGAN MEREALISASI PSH DI SEKOLAH.
Dewasa
ini banyak instusi pendidikan yang lain telah melaksanakan program pembelajaran
sepanjang hayat seperti kolej komuniti Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia namun
ia dilihat sedikit masalah kerana ia lebih bersifat nasioanal dan kurang
memahami budaya setempat. Tedapat jurang yang besar dari segi pergaulan dan
memahami keperluan komuniti setempat juga mengundang pelaksanaan kursus
pembelajaran sepanjang hayat menjadi perlahan. Sekolah dilihat sangat
bersesuaian jika sekadar mengendalikan kursus-kursus pendek sepanjang
hayat.
Penekanan hendaklah diberi bagi meningkatkan peluang mendapatkan pendidikan
pada semua peringkat sejajar dengan pendemokrasian dasar pendidikan (Mohd.
Ismail, 2005). Kekangan dan halangan yang utama adalah disandarkan kepada
kepimpinan sekolah kerana kunci pelaksanaannya terletak ditangannya iaitu guru
besar atau pengetua sekolah. Sejauh manakah guru besar memahami bahawa peranan
mereka sangat besar bukan sahaja kepada pendidikan formal di sekolah tetapi
juga pendidikan tidak formal dalam komuniti setempat. Namun peranan guru besar
dalam komuniti kian terhakis menjadikan mereka kurang mendapat tempat dalam pimpinan
komuniti berbanding di era awal kemerdekaan. Pelaksanaan program pembelajaran
sepanjang hayat bukanlah terpikul sepenuhnyakepada kepimpinan sekolah tetapi ia
berperanan sebahagian daripada anggota komuniti untuk memberi idea intelek yang
boleh menggerakkan aktiviti tersebut. Guru perlu menjadi pelopor kepada
penghayatan pendidikan sepanjang hayat (B.H Rabu, 16 Mei 2007).
Kepimpinan
sekolah merupakan individu yang penting untuk membangunkan komuniti seiring
dengan peranan ketua kampung dan penghulu mukim. Mereka dilihat lebih memahami
keperluan masyarakat malah lebih dekat dengan ibu bapa dan penjaga murid
sekolah. Kepimpinan sekolah tidak perlu mengorbankan peranan sekolah terhadap
pendidikan formal. Apa yang komuniti perlukan ialah idealisme kepimpinan
sekolah disamping memberi sedikit ruang kepada komuniti menggunakan kemudahan
sekolah tanpa menjejaskan kepentingan murid-murid sekolah. Kepimpinan sekolah tidak perlu merasakan idea
dan konsep ini sebagai beban kepada sekolah tetapi mesti melihat kaedah
mengajar orang-orang dewasa sebagai cabaran dan bukan halangan kepada
pelaksanaan program pembelajaran sepanjang hayat. Sekolah perlu menjadi peneraju
dalam menggerakkan guru-guru bukan sahaja menguasai pedagogi tetapi juga menguasai
andragogi. Andragogi atau pembelajaran orang dewasa adalah proses berterusan dalam
jangka masa yang panjang dimana melibatkan mereka yang sudah matang dari segi pemikiran
(Mohd. Azhar et.al., 2004). Cara sebegini sangat berkesan kerana melalui
penglibatan mereka mengajar orang-orang dewasa sebagai pengalaman baru.
PENUTUP
Selepas lima puluh tahun mencapai kemerdekaan,
berbagai institusi pendidikan ditubuhkan malah setiap kementerian mempunyai
institusi latihannya tersendiri namun jurang kemajuan antara kaum masih besar
terutamanya dalam bidang pendidikan, ekonomi dan pembangunan wilayah. Kerajaan
hari ini melihat bahawa pembangunan modal insan sangat penting terutamanya
menjadikan modal insan berminda kelas pertama. Pembangunan modal insan mestilah
menyeluruh terutamanya di kawasan luar bandar dan pendalaman negara. Semua golongan
sama ada yang bekerja, tidak bekerja, pesara dan warga emas mestilah berilmu pengetahuan
dan boleh menyumbang sesuatu kepada negara terutama dalam bidang pendidikan dan
ekonomi. Institusi pendidikan seperti sekolah hanya dilihat sebagai pusat
pembelajaran formal yang berorientasikan peperiksaan tidak diberi peluang untuk
sama-sama menyumbang kepakaran dalam pendidikan tidak formal terutama
pendidikan orang-orang dewasa. Sudah
tiba masanya institusi pendidikan yang berpengaruh seperti sekolah dalam komuniti
setempat terutamanya di kawasan luar bandar diberi peluang sama-sama membangunkan
modal insan. Bagi merealisasikan harapan ini kepimpinan sekolah seperti guru besar
haruslah berperanan memikul tanggung jawab tersebut. Bagi tujuan itu mereka
perlulah menempatkan diri mereka dalam kepimpinan komuniti setempat. Melalui
cara ini mereka berperanan untuk bersama-sama membantu membangunkan modal insan
dalam komuniti setempat.
No comments:
Post a Comment