Saturday 13 August 2016


KOMSAS TINGKATAN 5 2016
SAJAK – KUDUP PERANG (Tuah Saujana)

A MAKSUD

RANGKAP 1
Penulis berkata bahawa pemimpin perang yang sedang berkuasa pada masa ini terus membuat kezaliman dan dendamnya terhadap manusia semakin bernanah. Walau bagaimanapun, penulis menasihati kita agar bersyukur kerana dapat melalui kehidupan yang bebas merdeka hasil daripada usaha pemimpin terdahulu. Kita juga mempunyai kebebasan bersuara dan kebebasan menulis tentang perdebatan pahlawan yang sebenarnya.

RANGKAP 2
Oleh sebab sejarah kepahlawanan Tuah dan Jebat sudah lama berlaku, kita yang hidup pada zaman ini tidak berpeluang untuk menjadi saksi pertelingkahan antara mereka. Pelbagai rahsia yang disembunyikan daripada umum tentang kepahlawanan yang sebenar menyebabkan manusia tertanya-tanya tentang pemimpin sebenar yang benar-benar berkewibawaan mencipta sejarah. Walau bagaimanapun, pada zaman ini, manusia masih lagi mengungkit pertanyaan tersebut kerana mereka belum mengetahui perkara yang sebenar.

RANGKAP 3
Hang Tuah tidak dilabelkan sebagai pemimpin yang tersohor pada ketika itu kerana kesetiaannya terhadap sultan masih diragukan. Selain itu, banyak pembohongan yang berlaku pada waktu itu menyebabkan masyarakat tidak pasti sama ada Hang Tuah benar-benar memiliki ciri-ciri kepahlawanan. Akhirnya, Hang Tuah tidak disanjung tinggi oleh masyarakat dan maruahnya sengsara kerana perbuatannya yang tidak betul.

RANGKAP 4
Hang Jebat tidak digelar sebagai pengkhianat kerana dia mencurahkan kesetiaannya kepada sultan pada waktu itu. Kesetiaan yang ada pada Hang Jebat menyebabkan dia membunuh kawan baiknya, Hang Tuah. Walau bagaimanapun, dia tidak digelar pengkhianat walaupun masyarakat bersedih atas kematian Hang Tuah. Selepas kematian Hang Tuah, Hang Jebat dinobatkan sebagai pemimpin yang sebenar sehingga membelakangkan keadilan.

RANGKAP 5
Peperangan yang berlaku antara pemimpin dengan pemimpin yang dikuasai penipuan. Kebenaran pada waktu itu tidak mempunyai nilai lagi kerana masyarakat lebih percaya dan yakin akan kewibawaan pemimpin daripada menilai kejahatan
yang pernah dilakukannya. Pada masa yang sama, masyarakat akan berusaha untuk membangunkan negara dan menyejahterakan rakyat sehingga terlupa bahawa mereka belum mendapat seorang pemimpin yang benar-benar berkewibawaan dan berketerampilan.

RANGKAP 6
Walaupun sejarah sudah berlalu dengan waktunya, penulis sedar bahawa manusia pada zaman moden ini masih lagi mengungkit dan bertegang leher untuk memimpin negara dan menguasai pupuk kepemimpinan. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka belum dapat mencari seorang pemimpin yang benar-benar memiliki ketokohan untuk menerajui sesebuah organisasi.

B TEMA DAN PERSOALAN
Tema sajak ini ialah kepentingan kewibawaan dan ketokohan seseorang pemimpin dalam menerajui sesebuah organisasi. Hal ini dikatakan demikian kerana pemimpin pada masa ini semakin berani memutar-belitkan keadaan yang sebenar demi menjaga kepentingan diri. Oleh sebab itu, penulis berpendapat bahawa manusia pada zaman moden ini masih memikirkan calon pemimpin mereka yang paling berwibawa dan berketerampilan.

Persoalan
(a) Kewibawaan pemimpin
(b) Ketokohan pejuang bangsa
(c) Kebenaran sejarah kepemimpinan
(d) Perbezaan pendapat antara masyarakat tentang pemimpin
(e) Masalah peperangan yang masih berlaku
(f) Sifat mementingkan diri dalam kalangan pemimpin

C GAYA BAHASA
(a) Personifikasi
Buktinya, membajakan kezaliman – sering
mengudupkan putik dendam
kerana membenarkan sepasang mata
untuk berlari dengan tangan bergari
sempat juga menadah sejambak puisi
dan darah yang tiba-tiba membuak
bertiup dan memindahkan kebenaran pada tempatnya
mewarnakan keindahan pada hodohnya
menjungkitkan amarah pada damainya
teramat lara kita menjahit semula

(b) Metafora
Buktinya, mengudupkan putik dendam
kepada jari-jemari takdir
menumbuhkan kelopak rahsia
di istana wangsa
bukanlah penjamin kukuhnya
pasak saksama
sesekali turut direntakan daki pendusta
melekatlah selumbar sengsara
di tiang maruah kota.
Perang pun melecurkan lidah muslihat
bercabang lalu bertemu bayu palsu;
perca-perca bahagia – seperti perawan

(c) Anafora
Buktinya, untuk berlari dengan tangan bergari
untuk sehari lagi; sambil bertanya:

(d) Responsi
Buktinya, mewarnakan keindahan pada hodohnya
menjungkitkan amarah pada damainya

(e) Sinkope
Buktinya, Andai namamu Tuah, kita masih
Andai namamu Jebat, kita masih tidak
(f) Imejan atau imej alam
Buktinya, ke luar jendela; sewaktu fajar menghembus
ringkik kuda, gemerincing
bercabang lalu bertemu bayu palsu;
Sehingga senja tiba,


(g) Simile
Buktinya, perca-perca bahagia – seperti perawan
(h) Perlambangan
Buktinya, Sehingga senja tiba
Senja dalam baris sajak di atas melambangkan waktu zaman sudah tua

D NILAI MURNI
(a) Keberanian
(b) Kebijaksanaan
(c) Hemah tinggi
(d) Bertanggungjawab
(e) Amanah
(f) Keadilan

E PENGAJARAN
(a) Kita mestilah berani meluahkan perasaan dan hujah tentang sesuatu perkara yang benar.
(b) Kita mestilah bijak memilih pemimpin yang benar-benar berkewibawaan dan memiliki ketokohan untuk menerajui sesebuah organisasi waima negara.
(c) Kita mestilah menjadi seorang pemimpin yang berkewibawaan demi menjaga maruah diri dan keluarga.
(d) Kita mestilah bertanggungjawab menyelesaikan segala tugasan yang diberikan kepada kita sebagai seorang pemimpin.
(e) Kita mestilah amanah dalam usaha menjalankan tanggungjawab sebagai seorang yang memimpin sesuatu organisasi.
(f) Kita mestilah adil dan saksama dalam segala perbuatan demi memastikan kesempurnaan sesuatu organisasi yang kita pimpin.

4 comments:

  1. rangkap 4 huraian fakta silap ...

    ReplyDelete
  2. Bleh tk tlg pointkan persoalan? Bkn ke bnyk

    ReplyDelete
  3. Good luck for batch 03. Even we had a lot of harder time but I believe that we can through all this...

    ReplyDelete