Tuesday 9 October 2012

PERANAN BAHASA MELAYU MENYATUPADUKAN RAKYAT MALAYSIA


Peranan bahasa Melayu sebagai wadah menyatupadukan semua kaum di Malaysia
Gagasan ‘1 Malaysia’ adalah satu gagasan yang diperkenalkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, apa bila beliau mengambil alih teraju pentadbiran negara, bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang keturunan dan etnik berteraskan beberapa nilai –nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Gagasan ini adalah digagaskan selaras dengan peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara.
Salah satu daripada isi yang termaktub dalam gagasan satu Malaysia adalah berkaitan dengan perpaduan semua kaum di Malaysia. Oleh itu, bahasa melayu memainkan peranan yang sangat penting dalam memupuk perpaduan semua kaum di Malaysia.
Penggunaan bahasa Melayu yang semakin meluas sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara menekankan penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu yang lebih bermutu. Pelajar-pelajar bukan sahaja perlu menguasai kecekapan berbahasa dan ketepatan berkomunikasi, tetapi juga perlu memahami sistem bahasa Melayu yang mampu mengungkapkan segala bidang ilmu dan kegiatan harian selaras dengan fungsinya sebagai bahasa perpaduan rakyat, perhubungan utama, dan bahasa ilmu pengetahuan yang mencerminkan akal budi rakyat.
Di samping itu juga, bahasa Melayu memainkan peranan penting bukan sahaja di dalam memenuhi keperluan manusia tetapi juga untuk meningkatkan perpaduan antara kaum. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa perpaduan kaum begitu signifikan untuk menyumbang ke arah sebuah negara maju mengikut acuan sendiri. Selain itu juga, pendidikan sebagai alat yang digunakan untuk perpaduan antara kaum jelas dinyatakan di dalam Penyata Razak 1956. Oleh itu, apabila pendidikan dianggap sebagai alat secara automatiknya, bahasa Melayu yang berfungsi sebagai bahasa perpaduan boleh mengambil bahagian di dalam isu menyatupadukan rakyat kerana bahasa Melayu itu digunakan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar di pelbagai bidang.
Aspek penting untuk menyatupadukan rakyat mengikut fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan adalah melalui pendidikan. Sesungguhnya pendidikan hari ini telah memainkan peranan penting di dalam merealisasikan aspirasi negara di dalam mewujudkan perpaduan kaum. Pendidikan hari ini telah membuktikan bahawa negara berjaya mengimbangkan kewujudan integrasi nasional yang menjamin keamanan dan kesejahteraan negara. Perpaduan rakyat atau pembentukan satu negara bangsa dapat dicapai melalui sistem pendidikan. Oleh itu, perpaduan rakyat dapat dicapai sekiranya guru menerapkan nilai-nilai murni seperti saling menghormati antara satu sama laintidak mengira bangsa dan agama.
Selain itu, Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan merupakan senjata paling ampuh dalam merealisaikan konsep 1 Malaysia. Perpaduan dapat ditafsirkan sebagai satu proses yang menyatupadukan rakyat dan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan bangga akan tanah air. Kamus Dewan (1994) mendefinisikan perpaduan sebagai penggabungan, pelaburan penyesuaian, kecocokan dan perihal berpadu iaitu bergabung menjadi satu, sepakat dan sebagainya. Oleh itu, dapatlah diertikan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan ialah bahasa yang menjadi lambang penyatuan suara yang digunakan sebagai alat perhubungan di dalam lingkungan satu kelompok manusia yang berfungsi sebagai alat menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum dalam sesebuah negara.
Hal ini kerana Cara paling penting untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia ialah melalui penggunaan bahasa kebangsaan. Penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain dapat diwujudkan tanpa menimbulkan rasa curiga. Langkah ini mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa hormoni antara kaum di negara ini. Oleh itu, Penyata Razak telah diperakui dan diluluskan menjadi Ordinan Pelajaran pada tahun 1957. Ordinan ini mewajibkan semua jenis sekolah menggunakan sukatan pelajaran yang sama manakala Bahasa Melayu pula digunakan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah, khusus untuk membantu perpaduan kebangsaan dan menjadi wahana berkesan untuk komunikasi pelbagai kumpulan etnik dan masyarakat pelbagai dialek atau bahasa.
Bahasa Melayu bukan sahaja mampu menyampaikan pelbagai ilmu malahan ia juga memikul tanggungjawab yang besar sebagai bahasa persatuan dan kesatuan kaum di Malaysia. Perkara ini telah dibuktikan sejak sekian lama kerana melalui perpaduan yang kukuh dan persefahaman kaum yang kuat dalam kalangan masyarakat, suasana politik dan sosial juga turut stabil sekali gus merancakkan lagi sektor ekonomi negara. Secara tuntasnya, inilah berkat hasil bahasa Melayu yang dijadikan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara ini sejak awal tahun 70-an.
Bahasa Melayu yang dahulunya hanya berperanan sebagai ‘lingua-franca’ dan juga
‘bahasa kedua’ akhirnya menjadi bahasa pengantar, bahasa ilmu, bahasa komunikasi, bahasa perundangan, bahasa pentadbiran dan bahsa yang dapat mengungkapkan pelbagai genre dan domain ilmu. Oleh hal yang demikian,bagi memastikan semangat dan kecintaan terhadap kepentingan dan kemampuan bahasa Melayu memainkan peranannya sebagai bahasa ilmu dan wahana merealisasikan Gagasan 1 Malaysia, usaha promosi harus dipergiat dari semasa ke semasa.
Berdasarkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi tidak perlu dipersoalkan lagi apabila rata-rata anak-anak berinteraksi dengan rakan sebaya di sekolah, majikan dan pekerja berkomunikasi di pejabat bahkan urusan jual beli di pasar raya juga kita sering mendengar bahasa Melayu diujarkan. Keadaan ini akan mempermudahkan lagi proses perpaduan kaum di Malaysia dimana ia akan berfungsi sebagai satu cara yang sangat efektif dalam mencapai matlamat tersebut.
Hal ini kerana apabila semua penduduk menuturkan satu bahasa dalam bahasa pertuturan seharian, ia tidak akan menimbulkan kesusahan dan permasalahan. Oleh itu, ia akan membolehkan perpaduan semua kaum dicapai.
Bahasa Melayu bukan untuk orang Melayu sahaja tetapi bahasa Melayu untuk semua rakyat Malaysia, maka sewajarnya semua rakyat yang mengaku diri mereka sebagai rakyat Malaysia memastikan kelangsungan pelaksanaan bahasa Melayu dalam negara kita yang tercinta ini. Rancangan televisyen termasuk iklan, drama, filem dan lain-lain yang mengetengahkan konsep perpaduan antara kaum di negara ini wajar digalakkan dan diberi perhatian. Usaha memberikan keutamaan atau menjadikan perpaduan sebagai tema patut dipuji apatah lagi dengan penggunaan bahasa yang sama, iaitu bahasa Melayu.
Apabila wujud perpaduan antara kaum, maka keharmonian negara dapat dicapai mahupun dikekalkan. Dengan wujudnya keharmonian dan kesejahteraan hidup dalam kalangan rakyat, keamanan negara dan seterusnya kestabilan politik akan berkekalan. Kita tidak menyekat masyarakat pelbagai kaum untuk menggunakan bahasa ibunda masing-masing sama seperti mereka mengamalkan agama, budaya dan adat resam, namun demi semangat kemerdekaan dan perpaduan, utamakanlah bahasa kebangsaan kita.
Kedudukan Bahasa Melayu sebagai teras perpaduan bangsa Malaysia diperkukuhkan apabila kehadirannya tidak pernah disangsikan oleh kaum-kaum lain. Sebabnya Bahasa Melayu tidak dianggap sebagai ancaman kepada mana-mana pihak dan kehadirannya tidak akan menyebabkan bahasa ibunda kaum masing-masing akan menerima nasib malang. Rahsia Bahasa Melayu tetap diyakini sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan hingga kini ialah kerana jaminan yang diberikan dalam perlembagaan Malaysia yang telah menyebutkan bahawa bahasa-bahasa lain masih boleh digunakan.
Keadaan ini menjadikan Bahasa Melayu akan terus dihormati dan tidak akan disaingi oleh bahasa-bahasa lain.Gerakan Cintailah Bahasa Kita yang dilancarkan pada 11 Disember 1987 membuktikan betapa seriusnya pihak kerajaan dalam mengangkat martabat bahasa ini sebagai bahasa komunikasi utama pelbagai kaum. Sejak itu banyak kegiatan kebahasaan turut melibatkan pelbagai kaum.
Buktinya yang jelas ialah dengan adanya pertandingan Syarahan dan Ujian Bertulis (PBSUB) bagi SRJKC dan SRJKT dan pidato bahasa Melayu antarabangsa. Ini membuktikan bahasa Melayu menjadi bahasa yang boleh dipelajari dan dituturkan oleh sesiapa sahaja.
Pemilihan Bahasa melayu sebagai bahasa kebangsan dan bahasa perpaduan melonjakkan bahasa ini sebagai satu identiti bagi masyarakat majmuk sehingga mampu menjadi model perpaduan dunia melalui penggunaan satu bahasa.
Sebagai kesimpulannya, bahasa melayu memainkan peranan yang sangat penting dalam menyatupadukan rakyat di Malaysia yang berbilang kaum. Oleh itu sebagai rakyat Malaysia haruslah bersama memartabatkan bahasa melayu agar ia terus menjadi wahana penyatuan seluruh kaum di Malaysia. Hal ini kerana bahasa melayu telah bermula sejak dari zaman kesultanan melayu Melaka lagi dan ianya telah digunakan sebagai lingua franca oleh seluruh pedagang yang dating ke tanah melayu pada waktu itu.

7 comments:

  1. Idea yang bagus tetapi terdapat beberapa kesalahan tatabahasa yang jelas seperti
    "di kalangan"pada baris kedua esei.

    ReplyDelete
  2. Sebagai wadah menyadutpakan semua kaum di malaysia

    ReplyDelete
  3. Sebagai wadah menyadutpakan semua kaum di malaysia(yivonyee)

    ReplyDelete